Kedua-dua nya merupakan masalah kecelaruan pemakanan..
Anorexia nervosa
Penghidap anoreksia nervosa lazimnya memilih untuk terus berlapar dan enggan mengekalkan berat badan unggul kerana berpendapat mereka masih gemuk.
Bulimia nervosa
Penghidap bulimia pula sering mengamalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti makan terlalu banyak pada satu-satu waktu dan diikuti dengan usaha untuk membuangkan apa yang telah dimakan sama ada dengan memuntahkan semula atau menggunakan ubat-ubat bagi membuang makanan dengan kadar cepat. Penghidap bulimia boleh mengalami berat badan yang berubah-ubah tetapi tidaklah sampai ke tahap kemerosotan berat badan yang ketara seperti yang dialami oleh penghidap anoreksia.
Kesan dan Akibat
Anorexia nervosa
Boleh menyebabkan kematian akibat kelaparan atau cubaan membunuh diri. Dianggarkan 1 dari 10 orang meninggal dunia akibat penyakit ini. Akibat-akibat lain termasuklah gangguan degupan jantung, rembesan hormon terjejas, gangguan kitaran haid, kemandulan, tulang rapuh, ketidakseimbangan bahan galian dalam badan dan gangguan pada sistem saraf.
Bulimia nervosa
Mengakibatkan kerosakan pada gigi dan gusi akibat kesan asid perut dalam bahan yang dimuntahkan. Dehidrasi badan dan penurunan paras kalium akibat kerap muntah boleh menyebabkan gangguan degupan jantung selain dari badan menjadi tidak bermaya. Pembuangan bahan-bahan dari usus secara kerap akan menyebabkan keradangan pada dinding saluran pemakanan, dan juga sembelit.